Bertanggal 20-21 Julai 2010 kelmarin telah diadakan satu pementasan teater bersempena Ulang Tahun Ke-54 Dewan Bahasa Dan Pustaka yang disambut di Dewan Seminar DBP Wilayah Timur, Kota Bharu, Kelantan. Pementasan Teater Menang Sorak Kampung Tergadai yang menjadi pilihan pada tahun ini merupakan hasil karya bersama Zack Zaidin dan Hassan Jali yang diadaptasi kembali melalui kisah rakyat Pak Kaduk. Anda di luar sana pasti tahu akan kisah ini yang mana tersohornya cerita Pak Pandir dengan bodoh lurusnya dalam bertindak, cerita Pak Belalang dengan ciri istimewa bodoh pintarnya, cerita Mat Jenin pula dengan bodoh sialnya. Begitu juga dengan kisah Pak Kaduk yang tidak berkesudahan malangnya. Akibat kebodohannya menyabung ayam akhirnya rumah dan tanah tergadai , isteri sendiri nyaris melayang nyawa .
Galeria Dewan Bahasa Dan Pustaka Wilayah Timur
Raja Tengku Putri Anis menelaah sebuah buku Dewan Bahasa dan Pustaka sementara menunggu masuk ke ruang acara
Raja tengku Putri Anis serta bonda Raja Fauziah sudah mengambil tempat di dewan acara
Turut sama hadir adalah pembantu peribadi Raja Tengku Putri Anis, Dr. Zahari Bin Mat Ali beserta dengan ayahanda Raja Tengku Putri Anis sendiri, Raja Sazali Raja Hassan
Sri Ratu Saadong Vii sedang membaca bahan rujukan ditemani sebelahnya Madam Jeniffer iaitu setiausaha beliau .
Raja Tengku Putri Anis memakai busana pink hijau berfoto bersama bonda Raja Fauziah serta kakanda Putra Eedy Mega
Paluan gendang sebelum memulakan ceritera Menang Sorak Kampung Tergadai.
Memulakan teater dengan watak utama iaitu Pak Kaduk yang dimainkan oleh Mohd Asri Anuar . Pak Kaduk yang sering kelaparan tetapi seringkali membuang rezeki di depan mata . Tabiat yang suka membazir dan tidak bertanggungjawab kepada keluarga
Bersahaja beliau berceritera dan menyanyi namun sangat memukau penonton yang hadir.
Dr Raja Azman Raja awang sebagai Jiman iaitu anak kepada Yang Berhormat wakil rakyat , saudara Abdul Hadi Yusoff sedang melakonkan watak pengkhianat bangsa , tanah air dan agama bersama Mohd Ensan Ramli atau di dalam teater ini sebagai pegawai yang tidak amanah dan belot terhadap kerja semata-mata ingin mencari wang ekspres yang mana akhirnya membawa nasib malang seperti cerita Pak Kaduk
Asyik menonton teater
Menyesali perbuatan yang lalu kerana amalan rasuah beliau telah menyebabkan rumah dan segala aset beliau disita . Inilah contoh Pak Kaduk versi moden .
Mohamood Ismail atau watak sebagai Orang Kaya sudah membodohi Pak Kaduk dengan menukar ayam serama miliknya. Terkesima mendengar pujian kelebihan ayam seramanya oleh Orang Kaya dengan lurus bendulnya Pak Kaduk memeberikan ayam serama miliknya kepada Orang kaya setelah diminta
Pak Kaduk setelah selesai berlaga ayam . Akhirnya malu kerana baju kertas yang dipakai terkoyak
Jiman sedang menerangkan syarat-syarat kepada Karupan (Nik Muhammad Syamim) dan Ah Chong/Lebai Condong (Aziz Mohd Nor ). Dalam kisah ini mereka bersepakat untuk memujuk dan merayu tanah orang kampung agar dijual kepada mereka untuk kepentingan peribadi mereka . Yang menarik jalan cerita ini lebih berkisar kepada gejala rasuah yang sedang berleluasa di mana-mana tetapi membawa rugi pada masyarakat yang mengamalkannya
Pak Kaduk didatangi orang kampung untuk mengundangnya ke acara pernikahan di kampung mereka
Pada hari yang sama juga dia didatangi rakan sekampung yang turut mengundangnya ke tempat jamuan makan . Paling lucu dalam episod ini adalah yang mana Pak Kaduk sentiasa kerugian dalam segala hal . Yang dikejar tidak dapat , yang dikendong keciciran . Makanan kenduri sudah habis dan akhir sekali pulang kerumah mengamuk pada si isteri yang setia menemani setiap hari . Akibat teguran dan nasihat dari si isteri maka Pak Kaduk hilang kesabaran lalu nyaris membunuh isteri
Ditampilkan pula Abdul Hadi Yusoff, seorang sasterawan, penyajak, penyair, sekaligus, penggiat seni tanah air. Memegang peran sebagai Yang Berhormat (YB) di dalam teater ini
Deklamator Aminuddin Mamat . Setiap rangkap yang disampaikan penuh dengan kalimat terhadap penginsafan diri sendiri dan rayuan untuk anak bangsa yang sedang dalam kealpaan . Menyuruh bangkit menemui hujung dan jatuhnya keesaan Tuhan Maha Pencipta Alam
Hussain Ismail selaku Presiden Persatuan Anak Seni Ucok Tara Kelantan atau di dalam teater ini dikenali sebagai Pak Hussin sedang melakonkan watak sebagai anak pertiwi yang menyanjung tinggi kepada tanah air . Walaupun cuba dirayu oleh Jiman , Ah Chong dan Karupan namun Pak Hussin tetap tidak berganjak dan mempertahankan tanah tumpah darahnya dan tidak mungkin sama sekali bagi orang kampung dan beliau menjual tanah tersebut tanpa alasan dan sebab munasabah
Pak Hussin cuba memberi nasihat kepada mereka bertiga akan tanggungjawab sebagai seorang manusia berguna . Mesej yang hendak disampaikan cukup berkesan . Adalah bahawasanya kita sebagai rakyat yang sudah merdeka haruslah taat setia kepada tanah air dan bangsa kita . Jangan sesekali kita dijajah untuk mengorbankan sebuah maruah kerana harta atau tanah yang ada sebenarnya bukti kepada anak cucu di masa hadapan tentang kewujudan kita pada hari ini . Jika semuanya terjual maka sia-sia kita menjadi tokoh setempat yang tidak dapat berbuat apa-apa kepada masyarakat khusus untuk membela keluarga dan rakyat
Rooslan Madun sebagai pencerita serta penyanyi di teater tersebut.
Raja Tengku Putri Anis meneliti sebuah naskhah yang disediakan.Untuk makluman para pembaca sekalian , beliau ini memang meminati seni teater khusunya teater yang berbentuk lagenda dan nyanyian lagu-lagu puisi kerana beliau juga pernah berlakon di pementasan teater dan menjadi seorang penyair .
Barisan pelakon teater pada malam itu yang berjaya menambat hati para tamu.
Foto kenang-kenangan bersama bonda Raja Fauziah dan penggiat seni tanah air yang popular dengan Lagu Sungai Pahang, Roslan Madun.
Sebelum mengakhiri majlis, Raja Tengku Putri Anis bersalaman dengan salah seorang krew yang terlibat dalam menjayakan pementasan teater ini
Raja Tengku Putri Anis bersalaman dengan Presiden Kumpulan Anak Seni Ucok Tara (KASUT), En.Husain Ismail yang turut memegang peran sebagai Pak Hussin di dalam teater tersebut
Teater Menang Sorak Kampung tergadai berjaya menambat hati Raja Tengku Putri Anis pada malam itu
Santapan malam bersama setelah selesai acara. Semeja dengan Pengarah teater iaitu En . Hassan Jali
Turut hadir memeriahkan majlis Raja Tengku Putri Anis bersama barisan dif-dif tamu undangan serta Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur
Perbincangan langsung Raja Tengku Putri Anis bersama Seniman tanah air, Roslan Madun dan juga Profesor Nik yang juga cucu Tok kenali
Raja Tengku Putri Anis bersama bonda beserta penulis skrip Teater Menang Sorak Kampung Tergadai iaitu Hassan Jali (paling kiri) serta Zack Maidin (tiga dari kiri)
SINOPSIS CERITA PAK KADUK
Kisah ini bermula di dalam sebuah negeri yang diberi nama Cempaka Seri. Rajanya bernama Indera Seri. Raja Indera Seri ini terkenal dengan sikap sombong dan suka berjudi. Disebabkan keasyikannya menjadikan judi sebagai amalan seharian telah mendorong kebanyakan rakyat di negerinya leka dengan berjudi. Mereka terlalu asyik hingga melupakan syariat yang sepatutnya mereka ikuti kerana pada ketika itu raja-raja dan orang-orang besarnya memang amat suka melakukan pemaksiatan tersebut.
Di tepi hulu sungai negeri tersebut tinggal seorang tua dalam umur pertengahan bernama Pak Kadok. Pak Kadok seorang yang lurus bendul dan kurang daya pemikirannya. Pada suatu hari Pak Kadok berkata pada isterinya Siti, "aku ingin pergi menyabung digelanggang baginda Raja kerana aku amat suka melihat keadaan orang yang ramai menyabung di situ". "Kita bawa si Kunani ayam kita sebab ayam ni amat bertuah, kita pertaruhkan kampung kita kepada Raja, kalau kita menang tentulah kita akan mendapat duit dari Raja" sambung Pak Kadok Lagi.
Isteri Pak Kadok berkata,"jika begitu baiklah, pergilah awak menyabung bawa ayam kita. Sahut Pak Kaduk," jahitkan baju dan seluar aku dahulu dari kertas yang baru kubeli ini. Lekaslah menjahitnya.
Kata isteri Pak Kadok, "bagaimana hendak membuat baju dan seluar ini?, kalau dipakai tentu akan koyak. Tak mengapa buatkan juga aku nak pergi" rungut Pak Kadok.
Isteri Pak Kadok tidak berdaya lagi melayan percakapan Pak Kadok, lalu ia mengambil gunting dan mula mengunting kertas tersebut untuk dibuat seluar dan baju. Pak Kadok menyuruh isterinya supaya tidak menjahit seluar dan baju tersebut hanya perlu guna pelekat sahaja supaya cepat siap.
Apabila siap, Pak Kadok dengan berasa bangga memakainya dan pergilah ia kegelanggang tersebut. Selang tiada berapa lamanya Pak Kadok sampai digelanggang tersebut. Baginda Raja kenal dengan Pak Kadok, apabila baginda terlihat Pak Kadok lalu disapanya, "hai Pak Kadok apa khabar? menyabung kita?".
Maka Pak Kadok pun segeralah menyembahkan ayam sabungannya kepada baginda. Setelah diamati baginda berasakan ayam sabungan Pak Kadok amat berpontensi untuk menang. Lalu baginda mencadangkan agar ayam sabung Pak kadok ditukar dengan ayam sabungannya. Baginda berkata " Pak kadok ambilah ayam sabung beta yang amat bertuah ni berbanding dengan ayam Pak Kadok yang kurang tuahnya".
Setelah mendengar titah Raja tersebut, Pak Kaduk dengan suka citanya bersetuju untuk menukar ayam sabungannya dengan Raja. Setelah pertukaran dibuat, baginda Raja bertanya pada Pak Kadok "apakah pertaruhannya kita kali ini?". Maka sembah Pak Kadok, "ampun tuanku, patek ini tiada harta hanya kampung tempat tinggal patek yang ada, jadi kampung tersebut patek pertaruhkan". Baginda Raja bersetuju dengan apa yang Pak Kadok persembahkan.
Pak Kadok mengadaikan kampung halamannya sebanyak 100 Rial atas persetujuan bersama baginda Raja. Tetapi baginda Raja telah menyorok sebahagian wang gadaian tersebut. Setelah persetujuan pertaruhan selesai penyabungan pun bermula.
Dalam pertempuran tersebut ayam sabungan Pak Kadok Si Kunani telah berjaya mengalahkan ayam sabungan Baginda Raja Si Jalak. Setelah melihat Si Jalak sudah mati, Pak Kadok melompat kegembiraan sehingga terlupa bahawa Si Kunani telah menjadi milik Raja. Oleh kerana terlalu asyik melompat kegembiraan seluar dan baju kertasnya tadi habis terkoyak dan bertaburan, bertelanjang bulatlah Pak Kadok di khalayak ramai.
Semua orang termasuk baginda Raja tertawa terbahak-bahak melihat telatah Pak kadok. Baru Pak Kadok perasan bahawa pakaiannya sudah koyak semuanya. Pak Kadok berasa amat malu lalu terus melarikan dirinya tanpa menoleh kiri dan kanan.
Baginda Raja berkata, "malang sungguh Pak Kadok ayam sabungnya menang tapi kampung tergadai.
SELOKA PAK KADUK
Aduhai malang Pak kaduk,
Ayamnya menang kampung tergadai,
Ada nasi dicurahkan,
Awak pulang kebuluran,
Mudik menongkah surut,
Hilir menongkah pasang,
Ada isteri dibunuh,
Nyaris mati oleh tak makan,
Masa belayar kematian angin,
Sauh dilabuh bayu berpuput,
Ada rumah bertandang duduk,
Aduhai malang Pak Kaduk
No comments:
Post a Comment