Wednesday, September 22, 2010

JAMUAN HARI RAYA SRI RATU SAADONG VII BERSAMA MQTK/MQSB

Rombongan persaudaraan

SALAM KASIH SAYANG DAN PERSAUDARAAN
 ANTARA SRI RATU SAADONG VII DAN MQTK/MQSB


Putri Anis , ayahanda dan bondanya sedang memperjelaskan masalah agama yang melanda masyarakat hari ini


Isu murtad menjadi masalah yang paling utama bagi sesebuah negara sekiranya negara itu sememangnya negara Islam. Untuk menyelesaikan kes murtad ini tidak boleh lari mengetahui hukum hakam berkaitan murtad.
Maka mempelajari perkara yang boleh membatalkan Islam seseorang adalah perlu supaya kita tidak terjerus ke kencah murtad dan dapat membantu mengislamkan mereka yang telah murtad.
Perlu diketahui bahawa diwajibkan ke atas setiap orang Islam menjaga akidahnya di dalam Islam dan melidungi dirinya dari apa-apa yang memusnahkan (merosakkan), membatalkan, dan memutuskan akidahnya, ini dinamakan sebagai keluar dari Islam iaitu Riddah (murtad) Imam an-Nawawi dan imam-imam yang lain pernah menyatakan:
"Murtad adalah jenis kekufuran yang paling dibenci."
Telah menjadi satu kebiasaan pada zaman ini dimana seseorang itu menuturkan perkataan-perkataan yang mana membawa dia keluar dari Islam, dirinya tidak menyangka dengan menuturkan perkataan-perkataan itu boleh menjadikannya kafir.
Maka terjadi kes-kes murtad yang dia tidak sedar bahawa dia telah pun murtad. Semua ini berlandaskan apa yang telah dikhabarkan oleh Rasulullah dalam hadith baginda:
"Sesungguhnya seseorang itu berkata ia dengan kalimat yang tidak disangkakannya membahaya yang mana menyebabkannya menjunam jatuh 70 tahun ke dalam neraka." (Riwayat Imam Tirmizi dan Sunan).
Ini juga bererti tidak semestinya dalam keadaan tenang sahaja seseorang itu akan menjadi murtad apabila menurturkan perkataan kufur. Bahkan di dalam keadaan marah pun seseorang itu akan jatuh murtad jika di menuturkan perkataan kufur.
Imam Nasafi pernah berkata yang bermaksud; "Jika seorang lelaki marah pada anaknya atau hambanya dan memukulnya dengan teruk, kemudian datang seorang yang lain bertanya kepadanya, "kenapa engkau melakukan ini? Tidakkah engkau seorang Islam? Dengan segaja dia menjawab, 'Tidak', maka dia telah menjadi murtad kerana tidak mengaku sebagai muslim". Ini juga telah dinyatakan oleh ulama dari mazhab Hanafi dan juga para ulama Islam yang lain.
Maka kita perlu menghindari umat Islam dari bahaya murtad yang tersebar dan menjaga serta menerapkan isi ilmu akidah Islam sebenar bagi merealisasikan pembentukan muslimah yang solehah.

Sri Ratu Saadong Vii bergambar hari raya bersama majlis tertinggi  MQTK / MQSB
Pada 12 September 2010 bersamaan 2 Syawal 1431 H , Sri Ratu Saadong Vii telah mengadakan jamuan rumah terbuka khas bagi menyambut kedatangan majlis tertinggi dan ahli tahfiz dari MQTK / MQSB sempena dengan salam persaudaraan antara mereka sesama ummat Islam dan juga jamuan meraikan hari raya . Berkesempatan dengan ini juga , hasil pertemuan yang mereka langsungkan membawa perkembangan positif yang mana usaha-usaha murni pertubuhan ini dalam memartabatkan orang Islam dalam erti kata mengenal Al-Quran adalah satu tanggungjawab yang mulia dan disokong penuh oleh Putri Anis dan keluarga besar Sri Ratu Saadong Vii . Selain dari itu mereka juga turut membahas akan permasalahan kejadian dunia yang berlaku pada hari ini dan kesan-kesannya kepada manusia . Betapa pentingnya umat Islam harus mempelajari maksud-maksud di dalam Quran agar tidak terpesong di dalam kehidupan ke hadapan . Pendidikan di awal usia harus diberi penekanan sebagai salah satu usaha yang mengembangkan minda mereka . Ibarat kata 'melentur buluh biarlah dari rebungnya' .


Antara penemuan dan fakta penting yang telah ditemui oleh pelbagai pakar, khususnya pakar kanak-kanak mengenai kepentingan pendidikan awal kanak-kanak ini ialah dari segi perkembangan potensi otak manusia pada peringkat kanak-kanak. Peringkat ini merupakan tahap yang paling penting untuk merangsang dan meningkatkan keupayaan otak dan minda agar menjadi lebih cekap dan bijak melalui pelbagai bentuk rangsangan. Salah seorang pakar yang banyak membuat kajian dan percubaan terhadap kecerdasan otak kanak-kanak, termasuk kanak-kanak cacat otak ialah Dr. Glenn Doman. Antara rumusan penting daripada kajiannya dan pakar-pakar yang lain ialah:
  1. Tiada ahli sains yang dapat mengalahkan kanak-kanak, dari segi semangat belajar, mengkaji, mencuba dan menyelidik.
    Kanak-kanak akan lebih gembira jika lebih banyak dan lebih cepat menerima pelajaran. Potensi kanak-kanak membaca sama sahaja dengan potensi bercakap.
  2. Kanak-kanak boleh bercakap dahulu kerana kanak-kanak lebih banyak menerima rangsangan pendengaran percakapan.
  3. Sekiranya ransangan mata dan telinga sama banyak diterima, pasti kanak-kanak akan dapat membaca juga pada masa kanak-kanak itu dapat bercakap. Walau bagaimanapun kaedah dan suasana pembelajaran yang sesuai diperlukan.
  4. IQ akan meningkat dengan pesat bila dirangsangkan dalam peringkat ini dan tidak berkesan lagi bila dirangsangkan selepas peringkat ini.
  5. Apa yang tidak diperolehinya semasa kecil, sangat sukar diperolehi apabila ia besar kelak.
  6. Pembelajaran pada masa akan datang juga terletak di atas apa yang didapatinya semasa kecil.
  7. Kajian menunjukkan bahawa kanak-kanak yang cacat otak (seperti akibat demam panas) masih boleh dirawati jika sel otaknya dirangsangkan sebelum umur persekolahan seperti yang dilakukan oleh pihak Nuri.
Berdasarkan pelbagai kajian pakar dan para ilmuan tersebut, amat penting sekali ibu bapa memastikan anak-anaknya mendapat pendidikan seawal mungkin, khususnya pelajaran al-Quran. Para ibu bapa juga hendaklah memahami proses pembelajaran simanja yang berkesan seperti melalui ransangan, belaian sentuhan dan sebagainya.
Interaksi antara ibu bapa dan anak juga merupakan faktor utama yang membantu melahirkan anak pintar serta berkebolehan membaca al-Quran seawal mungkin. Lebih awal ibu bapa berinteraksi dengan anak mereka, lebih bagus perkembangan si anak. Ramai anak yang cerdas dan pintar didapati mempunyai ibu bapa yang perihatin terhadap keperluan anak dan sering meluangkan masa untuk berinteraksi dengan mereka.

Sesi berfoto
Amalan zikir jamin puasa sempurna, dorong diri sentiasa berusaha untuk kebaikan
PUASA adalah urusan peribadi seorang hamba dengan Allah. Begitu rahsia sifatnya kerana tiada siapa yang tahu apakah seseorang itu benar-benar berpuasa atau dia hanya berpura-pura. Hanya Allah yang Maha Mengetahui.
Puasa juga berperanan membentuk kasih sayang dalam diri hamba kepada Allah. Ibadat yang istimewa itu berhasil mengajar kita mengenai rahsia ketundukan dan kesabaran di atas perintah-Nya.
Bukan senang mendapat pahala puasa yang dijanjikan Allah. Entah-entah ibadat puasa itu mungkin rosak oleh pengaruh persekitaran dipenuhi gangguan hawa nafsu yang bersekutu.
Ada beberapa tanda menunjukkan puasa seseorang itu cacat seperti dijelaskan melalui sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang tidak meninggalkan perkataan dusta dan perbuatan dusta maka Allah tidak berhajat kepada usahanya meninggalkan makan dan minum (puasanya).” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Mengapakah Allah amat membenci lidah yang suka bermaksiat sehingga memberi amaran kepada orang yang berpuasa dengan amaran begitu keras? Tidak dinafikan jenayah lisan bukan hanya menjadi penyebab rosaknya puasa, tetapi ia juga menjadi sumber kerosakan segala ibadat.
Jenayah lisan juga menjadi racun yang mematikan kasih sayang dalam pergaulan sesama insan, menyuburkan benih dendam dan kebencian dalam persaudaraan. Apabila manusia terdedah kepada bahaya fitnah, saling mencela, berprasangka buruk atau menghina secara terang-terangan maka akan rosaklah kehidupan yang asalnya aman dan damai.
Justeru, strategi paling berkesan bagi menghindari maksiat lisan sudah diajar Baginda SAW melalui penyaksian Ummul Mukminin Aisyah yang berkata:
“Sesungguhnya Rasulullah sentiasa berzikir kepada Allah setiap saat.” (Hadis riwayat Muslim)
Alangkah eloknya apabila kita boleh memujuk diri dan membulatkan tekad untuk sentiasa berzikir seperti mana amalan Baginda SAW.
Walaupun tujuan sebenarnya ialah untuk menghadirkan Allah pada setiap perbuatan, supaya lurus segala amal zahir dan batin, amalan zikrullah juga diyakini boleh menyibukkan lidah dan hati sehingga keduanya tidak berpeluang melakukan maksiat.
Zikrullah menjamin puasa yang sempurna, hati hidup dan jasad sentiasa bergerak untuk kebaikan.
Selepas memahami tanda puasa yang cacat dan ubat mujarab untuk mengubatinya, seharusnya kita juga menggali kefahaman mengenai tanda puasa yang sempurna iaitu:
Ikhlas beramal secara sembunyi dan terang-terangan.
Setiap mukmin yang beramal ada kalanya terpaksa menghadapi bisikan hati yang ragu-ragu terhadap amalannya itu. Bisikan itu memujuk supaya menyembunyikan amal daripada pandangan manusia sebagai syarat keikhlasan.
Padahal fitrah manusia suka kepada pergaulan, saling mempengaruhi dan berhubungan satu sama lain.
Maka tidak menjadi kesalahan melakukan amal secara terang yang dilakukan berjemaah atau di hadapan khalayak ramai. Amal yang terang di hadapan orang lain tidaklah kecil kedudukannya di samping amalan tersembunyi.
Kesan dari melakukan amal secara terang amatlah baik untuk persekitaran kita. Bukankah amal itu boleh menjadi teladan untuk diambil peringatan?
Nyata silapnya pandangan mengenai amal yang dilakukan dengan terang-terangan kononnya dapat merosakkan niat. Sedangkan hadis Rasulullah SAW menjelaskan yang mafhumnya:
“Sesiapa yang menunjukkan kebaikan maka baginya pahala seperti pahala orang yang mengerjakannya.” (Hadis riwayat Muslim)
Tetapi hasutan syaitan tidak akan pernah menyerah untuk memperdaya manusia, dibisikkan ke dalam hati orang yang beramal secara terang-terangan itu mengenai bahaya riak supaya orang itu mengalami keraguan dan akhirnya langsung meninggalkan amal.
Cara ubati was-was yang dihembus syaitan seperti diterangkan al-Imam Fudail bin ‘Iyyad katanya: “Meninggalkan amal kerana manusia itu adalah riak. Beramal kerana manusia itu adalah syirik. Adapun ikhlas ialah Allah menyelamatkan kamu daripada keduanya.”
Reda dan gembira
Tanda puasa yang sempurna selain ikhlas kepada Allah ialah reda dan gembira. Tidak merasa berat melakukan ibadat bahkan merasa gembira dengan mengingat janji Allah kepada orang yang berpuasa.
Janji-janji Allah itu dikhabarkan Rasulullah SAW dalam hadis Baginda antaranya:
Pertama ialah pahala istimewa yang menjadi rahsia Allah disimpan untuk orang yang berpuasa. Sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Allah berfirman:
Puasa itu untuk-Ku dan Aku sendiri yang akan membalasnya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Janji Allah yang kedua, diampun segala dosa seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Sesiapa yang berpuasa dengan keimanan dan keikhlasan maka akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Ketiga, dijauhkan dari api neraka. Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
“Tidaklah seorang hamba yang mengerjakan puasa satu hari kerana Allah, melainkan Allah menjaga dirinya dari neraka sejauh perjalanan 70 tahun kerana puasanya yang sehari itu.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Keempat, imbalan tunai dan kesihatan jasmani. Sebelum pakar kesihatan mengkaji dan menemukan manfaat puasa,
Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: “Berpuasalah nescaya kamu akan sihat.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Kelima, doa yang tidak akan ditolak. Rasulullah SAW menegaskan dengan sabdanya yang bermaksud:
“Tiga orang yang doanya tidak akan ditolak; pemimpin adil, orang berpuasa sehingga dia berbuka dan orang yang teraniaya.” (Riwayat Ahmad, al-Nasai, al-Tirmizi dan Ibnu Majah)
Keenam ialah masuk syurga melalui Bab al-Rayyan. Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:
“Barang siapa yang termasuk golongan orang mengerjakan sembahyang maka ia akan dipanggil dari pintu solat.
Barang siapa termasuk golongan orang melakukan jihad, maka ia akan dipanggil dari pintu jihad. Barang siapa termasuk golongan orang yang berpuasa maka dia akan dipanggil dari pintu al-Rayyan.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Enam ganjaran tadi boleh menjadi pemacu ke arah kesempurnaan puasa. Saat menahan lapar dan dahaga, ketika menghidupkan malam dengan ibadat, membaca al-Quran pada siang hari, bersedekah, bekerja dan menuntut ilmu, ketika zikrullah tidak terlucut dari hati dan lisan, ingatlah enam ganjaran ini.
Puasa itu memberi kesan kepada keperibadian.
Selepas seseorang itu bersusah payah mengawal hawa nafsunya sepanjang Ramadan, tetapi ketika berakhirnya Ramadan dia kembali menjadi orang panas baran, tamak, rakus dan gelojoh maknanya puasanya itu tidak memberi kesan kepada keperibadiannya. Dia tidak mencapai matlamat ditetapkan al-Quran.
Hal ini dijelaskan firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa seperti diwajibkan atas orang sebelum kamu supaya kamu bertakwa.”
(Surah al-Baqarah, ayat 183)
Matlamat akhir ibadat puasa ialah mendapatkan bekalan takwa yang cukup untuk menjalani hari-hari seterusnya. Maknanya pada Syawal pun kita masih merasai nikmat beribadah seperti dirasai pada bulan Ramadan.
Tetapi ramai melepaskan pakaian takwanya ketika memasuki Syawal dan seterusnya tenggelam mengikut arus kecuali orang yang diberi cahaya petunjuk Allah.
Berhasilkah puasa membentuk keperibadian? Hal ini bergantung kepada sejauh mana kesungguhan seseorang menghiasi diri dengan pakaian takwanya atau dia mengganti pakaiannya itu dengan fesyen tidak diredai Tuhannya. Aduhai, alangkah ruginya manusia itu di dunia dan akhirat.

No comments:

Post a Comment